Saturday, 3 November 2012

Kucing dengan Ayam Jantan


         Di sebuah kampung, tinggal seorang petani dengan seekor kucing kesayangannya. Petani itu juga menternak ayam. Di dalam rebannya terdapat seekor ayam jantan dan beberapa ekor ayam betina. Ayam-ayam itu diberi makan dan dijaga dengan baik.
           Pada suatu petang, kucing petani itu berehat di sebuah kerusi berhampiran reban ayam. Dari situ ia nampak  ayam jantan mengais-ngais tanah mencari cacing. Tiba-tiba kucing terasa lapar. Ia teringin hendak makan daging ayam.
           Sedang kucing berfikir mencari helah, ia nampak ayam jantan duduk di tepi pagar. Kucing segera melompat ke atas tangga berhampiran pagar itu. “Hei, ayam jantan!” laung kucing. “Saya tak suka kamu! Tahukah kamu, kokokan kamu yang nyaring itu sering mengganggu tidur saya? Setiap malam saya tak dapat tidur dengan nyenyak!”
      “Jadi, kamu nak buat apa?” tanya ayam jantan. “Nah, rasakan!” Jerit kucing sambil menerkam ayam jantan. Kedua-duanya jatuh tergolek ke tanah. Kucing menyerang lawannya dengan menggunakan kakinya. Manakala ayam jantan menggunakan tajinya untuk menyerang balas. Setelah beberapa lama bertarung, akhirnya ayam jantan mati dan kucing memakan dagingnya dengan lahap.
Moral: Kita mesti berhati-hati apabila ada orang sengaja menimbulkan masalah dengan kita.


No comments:

Post a Comment