Tuesday, 4 December 2012

Berkongsi Makanan


Pada suatu hari, beruang dan singa pergi mencari makanan. Setelah beberapa lama berjalan, mereka tiba di sebuah perigi buta. Di situ terdapat seekor bangkai kambing. “Wah, makanan!” teriak beruang dan singa. Namun kedua-duanya tidak mahu berkongsi makanan tersebut.
            “ Mari kita berlawan! Pemenang akan mendapat bangkai kambing itu,” cadang singa. “ Baiklah, aku setuju!” kata beruang.
            Singa dan beruang pun memulakan perlawanan. Kedua-duanya menunjukkan kehandalan masing-masing. Perlawanan yang hebat itu disaksikanoleh seekor rubah. Rubah sedang bersembunyi di dalam semak berhampiran. Ia berniat untuk mencuri bangkai kambing itu. Namun, ia berasa takut terhadap singa dan beruang yang garang itu.
            Perlawanan antara singa dan beruang semakin sengit. Beruang mencakar mata singa dengan kukunya yang tajam. Dan singa membalasnya dengan menggigit telinga beruang. Setelah beberapa lama berlawan, kedua-duanya telah cedera parah. Mereka juga keletihan akibat terlalu lama berlawan. Akhirnya masing-masing mengaku kalah. Kedua-duanya tidak mampu untuk bergerak lagi.
            Melihat keadaan singa dan beruang itu, rubah segera bertindak. Ia keluar dari semak dan berlari segera kea rah bangkai kambing itu. “ Kamu berdua tidak perlu bergaduh lagi. Sekarang bangkai kambing ini menjadi milik aku!” kata rubah sambil ketawa.
            Rubah membawa bangkai kambing itu pergi dari situ. Sementara itu, singa dan beruang tidak dapat apa-apa. Mereka hanya mampu melihat rubah pergi dari situ.

Moral: Berkongsi sesuatu barang adalah lebih baik daripada tidak mendapat apa-apa.


No comments:

Post a Comment