Tuesday, 4 December 2012

Serigala Yang Memerlukan Pertolongan


Pada suatu hari, serigala mengalami cedera parah setelah berlawan dengan beruang. Akibatnya, ia tidak mampu berjalan lagi kerana kakinya patah. Hidungnya turut berdarah dan badannya luka-luka. Ia menjadi terlalu lemah. Ia berehat di celah-celah batu di tepi sungai. Ia menunggu haiwan yang datang ke sungai itu untuk meminta pertolongan.
      Tidak berapa lama kemudian, datang seekor biri-biri ke sungai itu. “Wahai sahabatku, sudikah kau menolongku?” sapa serigala. “Aku telah cedera parah. Tolonglah bawalah air dan makanan kepadaku.” Biri-biri berasa curiga untuk menolong serigala kerana sebelum itu ia sering diburu oleh serigala untuk dijadikan makanan. Ia terus pergi dari situ meninggalkan serigala yang kesakitan.
        Kemudian, lalu pula seekor anak rusa di kawasan itu. Ia terkejut melihat serigala berada di celah-celah batu itu. “Ke mari kawanku,” kata serigala. “ Kakiku telah patah. Aku tidak boleh berjalan lagi. Tolong bawakan aku sedikit air dari sungai itu. Dan bawakan aku sedikit buah-buahan  segar.” Namun anak rusa itu berasa takut lalu melarikan diri.
      Tidak ada haiwan yang mahu menolong serigala yang malang itu. Ia terus berada di tepi sungai itu dalam keadaan lapar dan dahaga. Oleh kerana terlalu letih ia tertidur di tengah terik matahari itu. Pada waktu malam, serigala bermimpi menikmati makanan yang lazat-lazat serta minum air sungai yang sejuk dan menyegarkan. Akhirnya serigala mati di situ.

Moral : Jangan mengharapkan pertolongan daripada orang yang selalu kita sakiti.     
      

No comments:

Post a Comment